PAPAR: Pusat jagaan warga tua di Sabah terus berdepan kekangan operasi walaupun menerima bantuan kerajaan, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata lawatan ke Rumah Warga Tua Sri Pritchard di Kinarut mendedahkan jurang berterusan dari segi pembiayaan dan kemudahan asas, termasuk isu bekalan air yang akan dirujuk kepada agensi berkaitan.
Menurutnya, bantuan sedia ada masih tidak mencukupi, justeru memerlukan penyelarasan lebih baik melibatkan masyarakat, NGO dan sektor swasta.
Katanya, kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memperkukuh sokongan termasuk melalui program sukarelawan, perkhidmatan dan sumbangan kewangan.
“Penglibatan tidak semestinya dalam bentuk kewangan, tetapi juga masa dan kepakaran bagi memastikan warga emas mendapat penjagaan konsisten,” katanya.
Program tersebut turut menyaksikan sambutan hari jadi penghuni serta aktiviti santai, selain memuji inisiatif hidroponik penghuni yang menjana pendapatan dan menggalakkan penuaan aktif.






