MUIS terima sijil audit 2024, Ariffin hargai bimbingan Audit Negara

MUIS terima sijil audit 2024, Ariffin hargai bimbingan Audit Negara

0
SHARE

PUTRAJAYA: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima Sijil Audit Tahun 2024 dalam satu sesi taklimat bersama Jabatan Audit Negara pada Rabu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, lawatan tersebut merupakan kunjungan kali keempat beliau ke jabatan berkenaan.

“Alhamdulillah, pada hari ini kita menghadiri taklimat di Jabatan Audit Negara dan menerima Sijil Audit Tahun 2024 bagi Majlis Ugama Islam Sabah.

“InsyaAllah, selepas ini kita akan mengetahui keputusan penuh pembentangan pada sidang DUN Sabah dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat berkenaan bersama pengurusan kanan Jabatan Audit Negara serta wakil MUIS.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, atas bimbingan berterusan dalam memastikan pengauditan MUIS berjalan lancar.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada beliau atas bimbingan dan tunjuk ajar yang sentiasa diberikan kepada Majlis Ugama Islam Sabah berkaitan proses pengauditan yang dijalankan.

“Dengan bimbingan ini, ahli-ahli MUIS mula mendapat manfaat dan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing termasuk pembayaran dividen dan zakat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ariffin berkata, beliau turut mendapatkan nasihat berkaitan pengauditan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah.

Menurutnya, terdapat 25 PBT di bawah kementeriannya yang perlu diperkasakan agar selari dengan amalan terbaik di peringkat nasional.

“Saya juga memohon panduan supaya ahli-ahli PBT di Sabah dapat bergerak seiring dengan ahli-ahli PBT di seluruh negara dalam penyediaan penyata kewangan dan perkara berkaitan,” katanya.