KOTA KINABALU: Wakil belia merentas parti dan aktivis mengkritik penangguhan pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah susulan keputusan Mahkamah Rayuan, sambil mempersoalkan keikhlasan kerajaan Persekutuan dalam rundingan.
Dalam kenyataan bersama, Allison Chan (UPKO), Melvin Lo (Warisan), Yong Yit Jee (SAPP) dan Atalia Mae Jaua (Komuhakan) menegaskan kerajaan tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan “kompleksiti” tanpa mengemukakan fakta.
Mereka menuntut pendedahan terperinci semua rundingan sejak keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025, termasuk tarikh, lokasi, kehadiran, hasil mesyuarat, serta sebab pembatalan atau penangguhan, selain pelan hala tuju dan sasaran akhir.
Kenyataan itu turut menyifatkan dashboard MA63 sebagai “teater prestasi” yang hanya memaparkan status tanpa data asas, dan menuntut akses kepada dokumen sumber seperti formula pengiraan, data hasil serta minit mesyuarat semakan 40 peratus.
Mereka juga menggesa laporan audit berkaitan tuntutan itu didedahkan sepenuhnya tanpa suntingan, dan formula pengiraan dimuktamadkan segera termasuk angka rasmi bagi 2025 dan 2026.
Pada masa sama, tekanan diberikan kepada kerajaan negeri agar menunjukkan ketegasan politik, dengan menegaskan pendekatan “berharap” tidak mencukupi dalam mempertahankan hak Sabah.
Satu himpunan aman “Laksanakan 40% Hak Sabah” akan diadakan di Gaya Street pada 10 April, bermula 5 petang, bagi menuntut akauntabiliti politik merentasi parti.
Kumpulan itu menegaskan kepercayaan rakyat bergantung kepada ketelusan, sambil memberi amaran: “Tiada ketelusan, tiada kepercayaan, tiada undi.”






