Kenaikan Harga LPG Tular Hanya Untuk Komersial, Bukan Domestik – KPDN Ingatkan...

Kenaikan Harga LPG Tular Hanya Untuk Komersial, Bukan Domestik – KPDN Ingatkan Orang Ramai Rujuk Harga Kawalan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) yang tular baru-baru ini hanya melibatkan silinder gas komersial dan tidak membabitkan gas domestik bersubsidi.

KPDN dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai mesej tular berhubung pelarasan harga LPG oleh sebuah syarikat di Negeri Sembilan yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Menurut kementerian itu, pelarasan harga yang dipaparkan adalah khusus untuk silinder gas komersial yang tidak berada di bawah skim subsidi kerajaan.

“Kenaikan harga yang tular itu hanya melibatkan silinder gas komersial dan bukannya silinder gas domestik bersubsidi,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, KPDN memaklumkan tindakan segera telah diambil dengan memanggil pihak syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Kementerian itu turut mengingatkan bahawa sebarang kenaikan harga bagi barangan dalam senarai barang kawalan termasuk LPG perlu dirujuk terlebih dahulu kepada KPDN.

“KPDN ingin menegaskan bahawa sebarang kenaikan harga barang kawalan hendaklah dirujuk kepada kementerian,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih serta digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi yang disediakan.

Antara saluran aduan yang boleh digunakan termasuk WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

KPDN turut memberi jaminan akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan harga dan bekalan barangan kawalan.