KOTA KINABALU: DAPSY Sabah mengkritik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana mempertikaikan perbezaan harga minyak antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, sambil menyifatkannya sebagai kegagalan memahami realiti MA63.
Ketua DAPSY Sabah, Chan Loong Wei berkata Sabah dan Sarawak adalah rakan setaraf dalam Persekutuan, justeru pendekatan berbeza dalam dasar bahan api adalah keperluan, bukan ketidakadilan.
“Pendekatan berbeza ini adalah dasar yang adil dan pragmatik berdasarkan geografi, struktur ekonomi dan kos sara hidup,” katanya.
Beliau turut menolak kaitan isu itu dengan konflik antarabangsa sebagai tidak relevan.
“Cabaran sebenar di Sabah adalah kos logistik tinggi, jarak jauh dan keadaan muka bumi, bukan geopolitik luar,” katanya.
Menurutnya, tanpa subsidi diesel bersasar, kenaikan harga akan terus menekan kos barangan asas di negeri itu.
Chan turut menegaskan pendekatan “satu acuan untuk semua” hanya akan memburukkan ketidakseimbangan, selain mencerminkan kegagalan memahami kedudukan Sabah dan Sarawak.
Beliau menggesa semua pihak berhenti mempolitikkan isu berkenaan dan memberi fokus kepada dasar berasaskan fakta serta semangat MA63.






