Bas Ekspres Dua Tingkat Musnah Terbakar di Semporna

Bas Ekspres Dua Tingkat Musnah Terbakar di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Sebuah bas ekspres dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Semporna-Kunak, di sini, malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.49 malam itu, bas milik syarikat Bayu Emas Ekspres jenis Scania K420 dilaporkan terbakar 100 peratus.

Ketua Balai BBP Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum jentera bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.10 malam dan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.28 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

Beliau berkata, ketika kejadian, bas berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu bagi tujuan pembaikan dan tidak membawa sebarang penumpang.

Operasi berkenaan diketuai Komander Operasi, Mohd Nazir Korong dengan kekuatan lapan anggota, selain dibantu dua anggota polis.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.