Lebih 25,000 mahasiswa Sabah terima bantuan tiket penerbangan

Lebih 25,000 mahasiswa Sabah terima bantuan tiket penerbangan

0
SHARE

SHAH ALAM: Pelaksanaan pelbagai inisiatif subsidi tiket penerbangan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan membantu meringankan beban kewangan mahasiswa Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya bagi perjalanan pulang ke kampung halaman.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara inisiatif terbabit ialah program Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) serta FLYsiswa yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan susulan maklum balas mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia mengenai beban kos tiket penerbangan, terutama menjelang musim perayaan.

“Program GRS/SUBFLY diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada 2024 menyediakan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagi tahun 2025, seramai 19,505 pelajar IPT menerima manfaat melalui inisiatif ini dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM11.7 juta,” ujarnya.

 

Beliau yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sabah di Semenanjung Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam di sini pada Ahad.

Armizan berkata, selain GRS/SUBFLY, Kerajaan Negeri Sabah turut memperkenalkan inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) yang menyediakan bantuan one-off RM300 sebagai subsidi pengangkutan kepada mahasiswa yang menuntut di IPT dalam negeri Sabah.

Jelasnya, bagi tahun 2025, seramai 22,649 pelajar menerima manfaat melalui inisiatif SENTOSA dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.79 juta.

Pada masa sama, ujarnya, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan melaksanakan program FLYsiswa sejak 2023 bagi membantu pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selain pelajar kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bermula 2025, amaun baucar digital FLYsiswa ditingkatkan kepada RM400 berbanding RM300 pada tahun sebelumnya.

“Bagi tahun 2025, seramai 25,289 mahasiswa Sabah menerima manfaat FLYsiswa, membabitkan 18,335 mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, 3,751 mahasiswa Sabah di Sarawak dan 3,203 mahasiswa Sabah di Wilayah Persekutuan Labuan,” ujarnya.

Armizan berkata, pelaksanaan pelbagai bantuan itu mencerminkan pendekatan seluruh kerajaan atau whole of government dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, khususnya dalam membantu mahasiswa menampung kos perjalanan udara.