KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menetapkan sasaran untuk memastikan 70,000 metrik tan hasil getah pekebun kecil di Sabah dapat diurus secara berkelompok melalui pembinaan rangkaian depo pengumpulan hasil.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah strategik itu selaras dengan Model Transformasi RISDA 2026–2030, yang bertujuan mengembalikan Malaysia sebagai pengeluar getah utama dunia.
Menurut beliau, 10 depo pengumpulan akan dibina di Sabah menjelang akhir 2026.
“Depo ini bukan sahaja memudahkan proses timbang, rekod dan pembayaran secara teratur, tetapi juga membolehkan 74,625 pekebun kecil memasarkan hasil mereka dengan lebih cepat dan selamat,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa kerjasama bersama Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dijangka meningkatkan pendapatan pekebun kecil, mengurangkan manipulasi harga dan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai negeri pengeluar getah yang penting.
Selain itu, RISDA turut memperluas perkhidmatan melalui Pusat Timbang dan Stor (PTS), Pemasaran Getah Bergerak (PGB) dan Program Pengeluaran Getah Negara (PETARA) bagi memulihkan kebun terbiar dan meningkatkan produktiviti.
“Pembangunan pekebun kecil getah memerlukan ekosistem lengkap iaitu produktiviti, pemasaran, logistik dan pengurusan data. Bukan sekadar bantuan semata-mata,” katanya.
Beliau yakin strategi itu akan memastikan pekebun kecil Sabah terus menjadi penyumbang utama ekonomi desa dan penggerak industri getah negara menuju sasaran satu juta metrik tan menjelang 2030.






