KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah mengesahkan bahawa Abdul Halim Sidek Gulam Hassan telah menarik diri sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri N.62 Silam pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata keputusan tersebut dibuat oleh Abdul Halim secara peribadi selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik antara parti-parti komponen dalam PH dan rakan kerjasama politik di Sabah.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.
“Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara.
“Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu beliau sumbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, KEADILAN Sabah juga merakamkan penghargaan terhadap dedikasi beliau.
“Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah turut menyeru jentera serta penyokong PH di Silam dan Lahad Datu agar kekal tenang dan terus memperkukuh perpaduan menjelang pilihan raya,” katanya.






