KENINGAU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi menjejaki seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di sini memasuki hari ketiga hari ini, dengan usaha pencarian terus dipergiatkan melibatkan pelbagai agensi penyelamat.
Mangsa, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemui setakat ini, dengan pasukan SAR daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP Keningau) mengetuai operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam.
Menurut kenyataan BBP Keningau di Facebook hari ini, operasi hari ketiga bermula seawal jam 9.30 pagi dengan penggunaan kaedah surface searching bagi mengesan mangsa.
Bagi melancarkan operasi, pasukan SAR telah dibahagikan kepada dua kumpulan taktikal, iaitu Team SAR 1 yang memfokuskan pencarian dalam radius satu kilometer dari lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.
Sementara itu, Team SAR 2 pula meluaskan skop pencarian sehingga radius lima kilometer, bermula dari Sungai Ansip dan menyusuri laluan air menuju ke Sungai Melalap di Tenom.
Operasi berdepan cabaran keadaan muka bumi yang sukar termasuk tebing curam, bongkah batu besar, sisa kayu serta air sungai yang keruh, namun pasukan penyelamat kekal komited meneruskan pencarian.
Pihak BBP Keningau turut berharap keadaan cuaca memihak kepada operasi hari ini bagi memudahkan usaha mengesan mangsa.
Perkembangan lanjut operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






