KOTA KINABALU: Penduduk di kawasan Likas bimbang selepas empat kes pecah rumah dilaporkan hanya dalam tempoh tiga hari di sekitar Taman Yakim Jaya dan Taman Maju Kota.
Kes pertama berlaku pada malam 22 Mac sebelum tiga lagi kejadian dilaporkan pada 24 Mac, semuanya pada waktu dan kawasan yang hampir sama.
Naib Presiden LDP, Sim Fui, berkata kejadian tersebut menunjukkan peningkatan membimbangkan jenayah pecah rumah di kawasan berkenaan.
“Dalam tempoh tiga hari sahaja, sudah empat kes dilaporkan. Ini sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian segera oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Rakaman CCTV dari salah satu kejadian turut menunjukkan seorang suspek memasuki rumah ketika waktu malam sebelum menggeledah kediaman tersebut.
Susulan itu, penduduk disaran meningkatkan langkah keselamatan termasuk memastikan pintu dan tingkap dikunci, memasang lampu luar rumah serta kamera CCTV, selain segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.






