Tiga Lelaki Miliki Dadah Cuba Lari Dari Polis

Tiga Lelaki Miliki Dadah Cuba Lari Dari Polis

0
SHARE
Foto Ihsan: PDRM Tawau

TAWAU: Tiga lelaki dipercayai memiliki dadah bertindak untuk cuba melarikan diri daripada polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tindakan memiliki bahan terlarang itu membawa padah apabila tiga orang lelaki tersebut dicekup pihak polis dalam operasi Ronda Cegah Jenayah (RCJ) baru-baru ini.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Tawau, semasa menjalankan RCJ telah menahan dan memeriksa beberapa orang lelaki yang kelihatan mencurigakan.

“Semasa diperiksa, sedikit pergelutan telah berlaku diantara anggota polis bertugas dengan suspek yang ingin melarikan diri, namun kesemua suspek berjaya ditahan dan ditangkap.

“Hasil pemeriksaan tubuh badan, didapati suspek memiliki paket plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Semakan rekod lampau turut mendapati salah seorang daripada suspek pernah disabitkan dengan kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Kes kini disiasat dibawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.