Israel Guna Taktik Intimidasi Halang Flotila Bantuan Gaza

Israel Guna Taktik Intimidasi Halang Flotila Bantuan Gaza

0
SHARE

Kota Kinabalu: Flotila Global Sumud yang membawa lebih 40 kapal awam dengan sekitar 500 aktivis termasuk Greta Thunberg mendakwa kapal perang Israel melakukan manuver berbahaya serta serangan siber ke atas dua kapal mereka, Alma dan Sirius, ketika menghampiri Gaza.

Memetik laporan Reuters, penganjur misi kemanusiaan itu berkata komunikasi dan navigasi sempat terputus sebelum pulih semula.

Sebelum ini flotila itu dilaporkan turut diserang dron yang melepaskan bom kilat dan serbuk gatal.

Israel belum mengulas, namun menegaskan sekatan laut ke atas Gaza adalah sah bagi menghalang kemasukan bantuan terus kepada Hamas.

Flotila dijangka tiba di Gaza Khamis jika tidak dipintas.

Itali dan Sepanyol menghantar kapal untuk tujuan penyelamatan tetapi tidak akan masuk zon 150 batu nautika dari Gaza.

PBB mengingatkan, sebarang serangan ke atas flotila itu adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Organisasi misi tersebut menyifatkan tindakan Israel sebagai cubaan menakut-nakutkan aktivis tidak bersenjata dari lebih 40 negara, sekali gus meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

Mereka menegaskan akan terus mara ke Gaza untuk menyerahkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Pakar hak asasi PBB, Francesca Albanese, menegaskan Israel tiada bidang kuasa di perairan antarabangsa dan sebarang halangan adalah pencabulan undang-undang laut.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa bertindak menghentikan “pengganasan maritim” oleh rejim itu.

Flotila bantuan ini mengingatkan kembali tragedi 2010 apabila sembilan aktivis terbunuh selepas tentera Israel menyerbu kapal misi kemanusiaan.

Penganjur menegaskan, sejarah hitam itu tidak akan menghalang usaha global menamatkan penderitaan rakyat Gaza yang dizalimi.