KOTA KINABALU: Rizal Johari, pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, menafikan dakwaan terlibat dalam skandal lesen lombong seperti didakwa melalui video yang didedahkan ahli perniagaan Albert Tei.
Menurutnya, rakaman yang kini tular itu bukan bukti salah laku tetapi satu lagi kempen terancang dan bermotif politik untuk mencemar reputasi kepimpinan Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya menolak dan mengecam cubaan berniat jahat untuk mengaitkan saya dan pemimpin Sabah lain dalam sebarang urusan tidak sah.
“Rakaman itu jelas direka bagi mewujudkan naratif palsu mengenai rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan Malaysiakini sebelum ini mendakwa video berkenaan memaparkan perbincangan mengenai sejumlah besar wang tunai serta politik dalaman Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Tei turut mendakwa pernah menyerahkan wang kepada Jeffrey dan pembantunya.
Bagaimanapun, Rizal menegaskan dakwaan itu hanyalah helah bagi mengelirukan rakyat Sabah.
“Segala sebutan mengenai wang kononnya diberi atau diterima, termasuk rakaman bersama Tei, adalah percubaan untuk menipu orang ramai dengan fitnah menjelang PRN,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa pendedahan Tei menimbulkan persoalan lebih besar mengenai siapa sebenarnya berada di belakang ahli perniagaan itu.
“Jelas beliau tidak bertindak bersendirian, sebaliknya mungkin mendapat arahan atau perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu. Soalnya, siapa dalang sebenar? Mereka inilah musuh rakyat Sabah,” katanya.
Rizal menegaskan beliau yakin kepada sistem perundangan negara dan akan mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan nama.
“Cubaan mencemar maruah saya adalah serangan terhadap seluruh rakyat Sabah. Kita tidak akan ditakut-takutkan atau dibisukan,” tambahnya.






