
KOTA KINABALU, SABAH – Generasi muda perlu memahami pentingnya perancangan bajet dan simpanan, serta perlindungan kewangan untuk menguruskan risiko utama dalam kehidupan sekiranya keadaan yang tidak diingini berlaku, kata Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki.
Menurutnya, membentuk tabiat kewangan yang sihat pada usia muda dapat membina asas yang kukuh untuk masa depan, membawa kepada keputusan kewangan yang lebih baik, dan mengurangkan kemungkinan jatuh ke dalam hutang atau kesukaran kewangan dalam kehidupan.
Katanya, satu kajian oleh Ringgit Plus pada kaji selidik Literasi Kewangan Malaysia 2021 mendapati bahawa 57 peratus daripada golongan muda tidak dapat bertahan lebih daripada tiga bulan hanya dengan simpanan jika kehilangan pendapatan.
Satu kajian lain oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia PIDM) pula mendedahkan bahawa golongan muda dalam lingkungan umur 25-34 tahun adalah kumpulan yang paling kurang dilindungi untuk insiden kesihatan atau kematian pasangan.
“Statistik ini memberikan gambaran yang memilukan. Ramai dalam populasi muda tidak mempunyai perlindungan kewangan yang mencukupi, menjadikan mereka rentan kepada krisis dan rintangan yang tidak dijangka.
“Dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah, kerentanannya boleh memberi kesan yang menghancurkan kepada stabiliti masa depan mereka.
“Dalam dunia di mana keputusan kewangan boleh memberi kesan jauh ke hadapan, statistik ini juga adalah satu seruan untuk mengambil tindakan.
“Golongan muda kita harus dibimbing dengan lebih baik. Sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap masa depan mereka, kita tidak boleh membiarkan situasi ini berterusan.
“Kita berada di ambang era baharu, di mana kesejahteraan kewangan generasi muda menjadi tumpuan utama, kita mengenali keperluan mendesak untuk mengubah pendekatan dalam melengkapi warganegara muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi landskap kewangan yang kompleks pada abad ke-21,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program Literasi Kewangan “Shape your Future”# FitFinances, anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Malaysian Takaful Association (MTA), di sini, Sabtu lepas.