Jangan Jadikan Putrajaya Kambing Hitam, Tegas Pemimpin AMK Sabah

Jangan Jadikan Putrajaya Kambing Hitam, Tegas Pemimpin AMK Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Eldridge Laurence Timis, menggesa Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan supaya berhenti menyalahkan Putrajaya atas cabaran yang dihadapi Sabah, sebaliknya menuntut kepimpinan yang lebih bertanggungjawab dan berpandangan jauh.

Mengulas laporan Malaysiakini bertajuk “Sabah untuk Orang Sabah – Kitingan cabar Putrajaya”, Eldridge yang juga Ketua AMK Penampang merangkap Naib Ketua AMK Sabah berkata kenyataan Jeffrey memberi gambaran tidak menyeluruh mengenai cabaran sebenar yang dihadapi negeri itu.

“Generasi muda Sabah, tidak lupa sejarah dan tidak akan membiarkan dakwaan yang mengelirukan dibiarkan tanpa jawapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Eldridge mengingatkan bahawa perpecahan politik masa lalu telah memperlahankan kemajuan Sabah dan memberi kesan berpanjangan kepada generasi muda hari ini. Beliau menegaskan kepimpinan tidak seharusnya berterusan dengan menuding jari kepada kerajaan Persekutuan.

“Ketika beliau berada dalam kerajaan pada era PBS, tidak banyak usaha sebenar dilakukan untuk mengembalikan hak Sabah.

“Jika benar beliau pejuang hak rakyat Sabah, sudah tentu rakyat dapat melihat pencapaian yang bermakna hingga kini,” katanya.

Mengulas pembaharuan persekutuan, Eldridge menegaskan proses mengembalikan kuasa kepada Sabah dan Sarawak hanya bermula secara rasmi pada era pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 dan diteruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengkritik kenyataan Jeffrey yang membayangkan STAR mungkin keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika ruang diberikan kepada PH, sambil menyifatkannya sebagai gaya politik lama.

“Sabah mesti bergerak melangkaui politik ugutan dan tuding jari. Apa yang rakyat, khususnya golongan muda, mahukan ialah kepimpinan yang jujur, berani dan progresif,” tambah Eldridge.