
KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah melaksanakan operasi khas sempena Aidilfitri bermula 1 April sehingga 20 April ini.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Mohd Harris Ali berkata, operasi tersebut bertujuan menjaga keselamatan pengguna pengangkutan awam disamping memastikan pengusaha bas mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.
“Setiap hari kita akan melaksanakan penguatkuasaan dan kalau di terminal, salah satu fokus JPJ adalah memeriksa keadaan bas terutamanya di tiga terminal utama negeri.
“Pemeriksaan ini akan dibuat sebelum bas keluar dari terminal dan dilakukan secara keseluruhan antaranya cermin, brek, lampu, permit bas serta lesen memandu.
“Pada masa yang sama kami juga bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memastikan pemandu-pemandu bas bebas daripada pengaruh dadah agar tidak memberi kesan terhadap pemanduan.
“Begitu juga pemeriksaan buku log, dan keperluan menyediakan dua pemandu, jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi bas terbabit dilarang keluar daripada terminal,” katanya kepada media semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Bas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Terminal Bas Bandaraya (Utara) Inanam, pada Ahad.
Harris memaklumkan setakat ini tidak ada kompaun dikeluarkan di ketiga-tiga terminal utama kerana JPJ memberi masa kepada pengusaha bas untuk memperbetulkan keadaan seperti lampu tidak berfungsi dan tayar botak.
“Kita berterima kasih kepada syarikat-syarikat bas yang mengambil serius pematuhan peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Saya memohon kepada semua pengusaha bas untuk selalu mengingatkan para pemandu agar mempunyai rehat yang cukup
dan tidak dalam tekanan ketika memandu,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan JPJ menyediakan 15 pegawai yang akan bertugas sebagai penyamar dan menaiki bas secara rawak mengikut jadual.
“Mereka akan bertugas setiap hari sehingga 20 April dan akan memantau sekiranya pemandu bas tidak mengikuti peraturan seperti merokok, memandu memakai selipar atau telefon,” katanya lagi.
Belia memaklumkan sebarang aduan pelanggaran peraturan jalan raya bolehla disalurkan ke portal MyJPJ. — JABATAN PENERANGAN SABAH