Wanita USIA Santuni 50 Anak Yatim, Asnaf

Wanita USIA Santuni 50 Anak Yatim, Asnaf

0
SHARE
Sapawi
Sapawi (tengah, belakang) ketika bergambar kenangan bersama anak-anak yatim dan asnaf yang diraikan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyantuni 50 orang anak yatim dan asnaf dalam Majlis Sentuhan Kasih Iftar.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada program USIA di peringkat bahagian yang dianjurkan oleh Wanita USIA bahagian Kota Kinabalu.

“USIA mempunyai 29 bahagian di seluruh Sabah dan program-program yang ada digerakkan oleh bahagian, Wanita USIA ataupun Belia USIA yang mana program dijalankan mengikut kawasan masing-masing dengan menggunakan pendekatan USIA iaitu mendekatkan diri dengan komuniti.

“Kita berharap dengan adanya program seperti ini USIA dapat mendekati komuniti dengan lebih rapat sekaligus berperanan bersama menyumbang dalam hal-hal pembangunan masyarakat,” katanya kepada media selepas Majlis Sentuhan Kasih Iftar Bersama Anak Yatim Dan Asnaf di sini, malam Ahad.

Sementara itu, Ketua Wanita USIA Kota Kinabalu, Nirma Habibi menjelaskan program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab untuk menyantuni anak yatim dan asnaf yang memerlukan perhatian terutama dalam menyambut bulan Ramadan.

Nirma memaklumkan Wanita USIA turut akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak yatim dan asnaf dalam Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri yang diadakan setiap tahun dan program Khatam Al Quran yang bakal dianjurkan dua minggu selepas lebaran. — JABATAN PENERANGAN SABAH