Kerajaan Bakal Laksana Penilaian Lanjut Berkaitan Bekalan Gula 1 Januari Ini

Kerajaan Bakal Laksana Penilaian Lanjut Berkaitan Bekalan Gula 1 Januari Ini

0
SHARE
Armizan
Armizan sekitar program Jualan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan akan membuat penilaian pada 1 Januari ini bagi menentukan tindakan lanjut berhubung ketidaktentuan bekalan dan harga gula di negara ini.

Memetik sumber Berita Harian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah segera perlu diambil bagi mengelak kesan negatif isu bekalan gula terhadap pengguna dan industri.

Katanya, penyelesaian jangka panjang perlu diambil selepas beberapa pendekatan termasuk melonggarkan Permit Kebenaran (AP) import gula mentah gagal menyelesaikan masalah.

“Kita telah memberi kelonggaran ini sejak Julai lalu. Pada 1 Januari 2024, kita akan membuat penilaian dan perlu bertindak untuk membuat keputusan segera bagi mengelakkan gangguan bekalan yang lebih besar.

“Penyelesaian jangka panjang kita akan berpandukan kepada dua keutamaan iaitu faktor harga yang munasabah dan bekalan gula yang stabil di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jualan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas, di sini, hari ini.

Beliau mengulas rungutan pengguna berhubung kesukaran mendapatkan bekalan gula sejak kebelakangan ini, selain ketiadaan ‘gula rakyat’ yang dijual dengan harga RM2.85 sekilogram di pasaran.

Armizan dalam pada itu turut berkata gangguan bekalan gula putih bertapis pada harga RM2.85 yang berlaku ketika ini adalah disebabkan faktor kenaikan harga gula mentah hingga 150 peratus di pasaran global.

“Sejak 2021, kenaikan harga gula mentah di pasaran global melebihi 150 peratus. Dua pengilang utama di negara ini yang membekalkan gula dengan harga kawalan RM2.85 kini mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu kerana kos mereka meningkat.

“Kerajaan hanya mengawal harga gula putih bertapis pada harga RM2.85 tanpa memberikan sebarang subsidi kepada pengilang. Sebenarnya tiada subsidi langsung dari kerajaan untuk bolehkan gula dibekal pada harga RM2.85.

“Dakwaan mengatakan kerajaan menarik balik subsidi dan catu subsidi gula adalah tidak betul, memang tiada subsidi sejak dulu,” katanya.

Sebagai usaha mengatasi bekalan gula mentah, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil pendekatan untuk melonggarkan syarat AP import dengan membuka ruang kepada mana-mana pihak mengimport gula mentah sejak Julai lalu.

Katanya sejak itu, sebanyak 43 syarikat diberikan AP dengan kebenaran untuk mengimport sebanyak 557,080 tan metrik gula mentah dengan kadar harga yang rendah dan mampu dijual kepada pengguna di negara ini pada harga RM2.85 sekilogram.

“Namun, sehingga 12 Disember 2023, sumber bekalan gula yang berjaya dibawa masuk hanya pada kadar lima peratus dan lebih untuk kegunaan sendiri oleh syarikat terbabit.

“Ini bermaksud tiada pihak yang berupaya mencari sumber bekalan gula mentah yang murah untuk diproses dan kemudiannya dijual pada harga kawalan RM2.85,” katanya.

Katanya, KPDN masih membuka ruang kelonggaran AP import itu secara bersyarat sehingga 31 Disember ini kepada mana-mana syarikat yang mampu membawa masuk gula mentah dengan kos lebih rendah dan menjual gula bertapis pada harga RM2.85.