KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membabitkan tujuh syarikat yang dikesan menipu bidaan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan di kementerian itu.
Memetik sumber Berita Harian, kementerian terbabit menegaskan bersedia menyalurkan segala maklumat dan maklum balas lanjut yang diperlukan dalam membantu proses siasatan itu.
“Kementerian Pertahanan akan terus komited memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan yang dinyatakan dalam pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan.
“Kementerian juga sentiasa berlandaskan dasar dan polisi untuk melaporkan terus dengan segera kepada Kementerian Kewangan bagi sebarang unsur keraguan atau pemalsuan oleh syarikat selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan (PK8),” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu merujuk laporan media yang mana MyCC mendedahkan tujuh syarikat terbabit dengan kegiatan tipu bida dalam empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan untuk MINDEF, dianggarkan bernilai RM20.8 juta.
Kesemua syarikat yang menjadi pesaing dalam tender kerajaan itu dikesan bersepakat memanipulasi proses bidaan bagi perolehan awam, yang mengakibatkan kenaikan harga bagi projek perkhidmatan awam sekali gus menghalang kemasukan syarikat baharu dalam pasaran.
Situasi itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kenaikan kos dan lebih buruk, ia menyebabkan pembaziran dana awam.
MINDEFF menegaskan akan terus mendukung teguh etika tadbir urus dan pengurusan yang telus membabitkan segala aspek perolehan yang dilaksanakan olehnya.
Menurutnya, berdasarkan semakan dan rekod Kementerian Pertahanan terdapat beberapa dokumen berkaitan empat tender yang disiasat sudah dirujuk sebagai bahan pembuktian kes.
“Kesemua dokumen berkaitan telah dikemukakan kepada MyCC selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-Undang Kementerian Pertahanan.
“Kesemua perolehan yang terbabit dalam siasatan ini sudah dilaksanakan secara tender terbuka dan sebut harga mengikut tatacara perolehan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Berdasarkan rekod, didapati bahawa empat syarikat yang disenaraikan terbabit dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.
Tiga syarikat lagi terbabit dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga yang dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Kementerian Pertahanan.
“Kementerian Pertahanan menegaskan akan terus komited memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan yang dinyatakan dalam pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan,” katanya.





