Tiada Laporan Penduduk Balung Sakit Akibat Aktiviti Perlombongan – Asits

Tiada Laporan Penduduk Balung Sakit Akibat Aktiviti Perlombongan – Asits

0
SHARE
Jkns
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Asits Sanna ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr. Asits Sana menafikan laporan mendakwa penduduk Balung di daerah Tawau mengalami “sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik lombong haram di Bukit Mantri” seperti dilaporkan portal berita Sabah News Today.

Beliau sekaligus menafikan dakwaan bahawa aktiviti perlombongan emas di lokasi tersebut adalah haram selepas menerima penjelasan daripada pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS).

Katanya, aktiviti perlombongan terbabit yang menggunakan sianida telah diluluskan untuk beroperasi berdasarkan kepada hasil laporan Environmental Impact Assessment (EIA).

“Penggunaan sianida untuk mengekstrak emas adalah secara tertutup dan pelupusannya adalah mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.

“JKNS dengan bantuan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau telah membuat siasatan serta verifikasi berkenaan aduan ini.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dinyatakan berlaku,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital tidak melaporkan sebarang kes berkenaan keracunan sodium cyanide.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan kawasan kampung sekitar juga mendapati tiada individu yang mengalami gejala.

“PKK Tawau juga telah menjalankan pemantauan bersama dengan JPASS mendapati tidak ada sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Kampung Balung Cocos secara khususnya dan Penduduk Tawau secara umumnya,” jelasnya.

Pencemaran Sianida boleh menyebabkan pencemaran udara dan air yang memberi kesan kesihatan negatif kepada kepada individu yang terdedah.

Kesan khusus keracunan Sianida kepada kesihatan adalah gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk yang berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan.

“Pihak JKNS ingin menasihati semua penduduk yang mempunyai gejala berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

“JKNS bersama dengan agensiagensi lain yang berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan penduduk daerah Tawau.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” tambahnya.