KM HAJIJI TERIMA KUNJUNGAN HORMAT NANCY SHUKRI

KM HAJIJI TERIMA KUNJUNGAN HORMAT NANCY SHUKRI

0
SHARE
Nancy
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima cenderamata daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Isnin.

Nancy memaklumkan Hajiji berkaitan program untuk memperkasakan wanita khususnya di Sabah yang telah dilaksanakan oleh jabatan dan agensi dibawah kementeriannya di negeri ini.

Menurutnya, pada tahun lepas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah melaksanakan Program Wanita Bangkit yang telah melibatkan hampir 2,000 wanita Sabah dan Program Advokasi Akta Antigangguan Seksual di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang melibatkan lebih 1,000 wanita di negeri ini.

Untuk tahun ini, beliau ingin meluaskan lagi perkhidmatan KPWKM di Sabah terutamanya untuk memperkasakan wanita.

Beliau diiringi oleh Ketua Pengarah JPW Malaysia, Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Malaysia, Nordina Haron.

Nancy berada di Sabah untuk menghadiri beberapa program rasmi di Lahad Datu.