Ewon Hargai Peranan Dan Sumbangan Media

Ewon Hargai Peranan Dan Sumbangan Media

0
SHARE
Ewon
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bergambar bersama pengamal media Sabah dalam Majlis Bersama Media di Palace Hotel ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meraikan pengamal media di Sabah melalui satu Majlis Bersama Media, di Palace Hotel, di sini, semalam, bagi menghargai peranan dan sumbangan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak media atas kerjasama baik yang diberikan selama ini.

“Majlis ini bertujuan menghargai peranan dan sumbangan media melaporkan berita mengenai program-program kementerian.

“Saya juga berharap majlis seumpama ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama baik antara pihak media dan kementerian.

“Bukan hanya meraikan sambutan Tahun Baru Cina tetapi ini adalah pertemuan kali pertama dengan para pengamal media di Sabah selepas saya dilantik sebagai Menteri KUSKOP, Ahli Parlimen Penampang dan Presiden UPKO,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad, Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntar Vanar, ketua editor dan biro agensi media.

Hadir sama ketua-ketua agensi di bawah Kuskop mewakili Tekun Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), UDA Holdings, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Bank Rakyat, Pernas, SME Bank dan SME Corp.

Lebih 90 pengamal media mewakili 26 agensi media massa, elektronik dan portal di Sabah menghadiri majlis itu.

Pada majlis itu Ewon turut melancarkan media sosial (Facebook, Instagram dan Twitter) rasmi beliau iaitu Laman – Ewon Benedick.