KOTA KINABALU: Kiulu berpotensi disenaraikan sebagai ahli Cittaslow (Slow City), sebuah gerakan global yang menekankan pembangunan mampan berasaskan komuniti.
Cadangan ini dikemukakan Persatuan Pendidikan Bakat Malaysia dan Kolaborasi Industri-Akademia (M-TEIA) pada Mesyuarat Jawatankuasa Produk Pelancongan Luar Bandar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) baru-baru ini, menjadikan Kiulu berpeluang menjadi komuniti pertama di Malaysia diiktiraf rangkaian Cittaslow.
Datuk Joniston Bangkuai, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, berkata pengiktirafan itu menunjukkan usaha pelancongan komuniti Kiulu semakin mendapat perhatian antarabangsa dan selari dengan konsep “perjalanan perlahan” yang memberi pengalaman lebih mendalam kepada pelancong.
Kerjasama antara STB, M-TEIA dan universiti Taiwan turut memperkukuh latihan agro-pelancongan, termasuk program tiga tahun untuk 15 petani Kiulu dalam penanaman nanas dan pemprosesan produk.
Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Meijin Manginggow, berkata semakin ramai pelancong mencari pengalaman hidup desa, menyertai aktiviti pertanian dan gaya hidup mampan malah pencipta kandungan antarabangsa juga mula menjadikan Kiulu sebagai destinasi pilihan.






