KOTA KINABALU: Empat buah rumah di Kampung Muhibbah Baru, Menggatal, dilaporkan hangus dan ranap dalam kejadian kebakaran semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 9.57 malam.
“Pasukan Bomba dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan itu.
“Dilaporkan kebakaran melibatkan empat buah rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan keseluruhan 100×100 kaki telah terbakar 100 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, operasi pemadaman dijalankam menggunakan satu aliran 200 kaki, dua pancutan sumber air dari jentera Water Tank.
Operasi dilaporkan terkawal pada jam 11.15 malam dan seterusnya operasi ditamatkan pada jam 12.28 pagi.