GRS Bukan Gabungan Parti Tempatan ‘Sejati’, Peluang Sama Rata Pada PRN Nanti...

GRS Bukan Gabungan Parti Tempatan ‘Sejati’, Peluang Sama Rata Pada PRN Nanti – Peter

0
SHARE
Peter
Peter (kiri) beramah-mesra dengan penduduk Tenom sempena program Karnival Tahun Baru Cina di pekan daerah berkenaan, baru-baru ini ( Sumber Foto: Ihsan KDM )

TENOM, SABAH – Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony berkata, peluang parti-parti dari Semenanjung terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) adalah sama rata seperti parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Ini kerana, katanya, sentimen parti tempatan yang dimainkan GRS hanyalah sekadar mengaburi mata rakyat negeri ini kerana pada hakikatnya gabungan itu turut disertai parti dari Semananjung iaitu Perikatan Nasional (PN) dan PAS.

Beliau berkata, berbeza berbanding di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah dibarisi oleh parti-parti tempatan dan oleh sebab itu mereka mendominasi sokongan di negeri berkenaan.

“Keadaan di Sabah amat berbeza dengan sentimen di Sarawak, GPS mendominasi sokongan rakyat negeri itu kerana yang menganggotai GPS adalah parti tempatan Sarawak.

“Di Sabah pula, GRS bukanlah gabungan parti tempatan Sabah, GRS dianggotai PN dan PAS yang merupakan parti Semenanjung serta merupakan pembangkang di peringkat Persekutuan pada ketika ini.

“Bukan mudah untuk GRS mendominasi PRN17 nanti kerana parti lain juga mempunyai kekuatan sendiri.,” katanya ketika ditemui sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina 2024, di Tenom, baru-baru ini.

Sementara itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, KDM setakat ini belum membuat keputusan sama ada akan bertanding di semua kawasan pada PRN17 nanti.

Bagaimanapun, katanya, parti itu telah mengenalpasti kerusi-kerusi berpotensi untuk dimenangi termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau yang kini disandang bekas Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim.

Juil pada tahun lalu mengumumkan keluar daripada KDM untuk menyertai GRS secara keahlian terus.

“Jentera di kawasan keutamaan KDM sudah dan sedang dalam persiapan akhir sebelum menjelang PRN17 yang dijangka pada Oktober ini mahupun April tahun depan.

“Saya dan (Timbalan Presiden KDM) Datuk Wetrom (Bahanda) akan berkeja keras bagi memastikan kawasan yang ditandingi KDM nanti beroleh sokongan dan kemenangan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerjasama atau gabungan KDM pada PRN17, Peter berkata parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membawa kemajuan kepada Rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah perlukan penyelesaian yang tuntas bagi mengatasi permasalahan dihadapi mereka terutama dari segi kos sara hidup, ekonomi serta kemajuan negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Peter turut menyeru agar rakyat Malaysia memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus mentadbir negara sehingga habis penggal.

“Ini bagi membolehkan beliau (Anwar) menyelesaikan masalah dihadapi oleh negara ini yang disebabkan oleh kesilapan pemimpin lalu.

“Mari kita sama-sama terus beri sokongan kepada PMX katanya,” katanya.