BANGKOK, THAILAND – Polis Thailand menembak gas pemedih mata dan peluru getah ke arah ratusan penunjuk perasan di tengah bandar negara itu yang menuntut transformasi politik serta perubahan segera dalam menambahbaik program vaksinasi COVID-19.
Penunjuk perasan yang tidak menghiraukan larangan kerajaan itu berkenaan mengekang penularan COVID-19 telah berhimpun menegaskan pendirian mereka agar Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha meletak jawatan.
Memetik laporan AFP, Kerajaan Thailand ketika ini berdepan kritikan hebat selepas program vaksinasi yang dilaksanakan sangat perlahan dan juga peserta penunjuk perasaan meminta kerajaan mula menggunakan vaksin mRNA seperti Pfizer dan Moderna, berbanding vaksin keluaran China iaitu Sinovac.
Lebih 500 penunjuk perasaan menyertai perhimpunan berkenaan namun, angka berkenaan lebih rendah berbanding kehadiran anggota polis meskipun pihak berkuasa semalam mengatakan akan menurunkan hampir 6,000 anggota.
“Saya bimbang dengan situasi semasa namun kami perlu terus berjuang walaupun berdepan wabak yang teruk ini,” kata salah seorang peserta penunjuk perasaan yang dikenali sebagai Nat kepada AFP.
Gerakan protes yang mahukan demokrasi mula meningkat tahun lalu dengan kemuncak ribuan berkumpul di Bangkok meminta peletakan jawatan Prayut.