Peniaga Sabah Dinasihat Tidak Naikkan Harga Peranti Elektronik Ketika PKP

Peniaga Sabah Dinasihat Tidak Naikkan Harga Peranti Elektronik Ketika PKP

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Peniaga peranti elektronik dan perkakasan internet dinasihatkan supaya tidak menaikkan harga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan permintaan tinggi terhadap peranti berkenaan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya.

Beliau berkata ketika ini rakyat sedang berdepan pelbagai cabaran terutama pelajar yang perlu menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) dan peniaga seharusnya beretika serta tidak mengambil kesempatan meraih keuntungan sehingga membebankan pengguna.

“Peniaga alat peranti digital yang didapati menaikkan harga bakal dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (KPDNHEP) kerana mencatut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga barang keperluan di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Ir Shahelmey Yahya…

Katanya, KPDNHEP telah mengadakan Ops Catut 8.0 untuk memastikan tiada pemilik premis yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya alat peranti digital.

“Ramai ibu bapa mencari kelengkapan elektronik seperti komputer meja, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit untuk kegunaan anak masing-masing semasa mengikuti PdPR,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas yang turut serta dalam pemantauan itu berkata permis yang didapati cuba menaikkan harga barangan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Mana-mana orang yang disabitkan atas suatu kesalahan mengikut akta ini boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie dalam kenyataan berkata KPDNHEP Sabah mengeluarkan 34 notis terhadap peniaga melibatkan rampasan bernilai RM32,015 hasil pemantauan dan pemeriksaan bekalan barangan keperluan semasa pelaksanaan PKP sejak 13 Jan lepas.

“Sebanyak 34 notis yang dikeluarkan itu adalah hasil daripada 5,054 pemeriksaan premis perniagaan yang dilakukan di seluruh Sabah untuk memantau kenaikan harga barang semasa PKP,” katanya.

Georgie berkata 17 notis yang dikeluarkan mengikut AKHAP 2011 kerana kegagalan meletakkan tanda harga dan lima notis dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana tidak mempunyai lessen atau permit menjual.

“Sebanyak 10 notis dikeluarkan mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 kerana menggunakan alat penimbang yang tidak disahkan untuk tujuan perdagangan, manakala dua lagi notis dikeluarkan mengikut Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan ke atas barangan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan aduan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati ada premis melakukan kesalahan seperti menaikkan harga barang antaranya melalui email e-aduan@kpdnhep.gov.my; telefon 1-800-886-800; WhatsApp 019-279 4317 atau datang sendiri ke pejabat agensi itu.