Penglibatan Gen-Z Penting Dalam Usaha Memelihara Budaya,Tradisi

Penglibatan Gen-Z Penting Dalam Usaha Memelihara Budaya,Tradisi

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar ketika menyempurnakan ucapan perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Penglibatan belia khususnya Gen-Z dalam program Pesta Kaamatan penting dalam usaha memelihara budaya dan adat tradisi.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan berkata pelbagai pengisian program telah diadakan bagi memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk terlibat dalam pesta tahunan tersebut.

“Program tersebut antaranya acara Buvazoi Tavantang, pelaksanaan sukan rakyat di Institut Pengajian Tinggi dan sekolah menengah, pertandingan nyanyian serta tarian kreatif khusus untuk para pelajar sekolah.

“Penglibatan mereka ini diyakini akan membantu dalam usaha mengekalkan dan memelihara budaya serta adat tradisi agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA), pada Khamis.

Majlis perasmian sambutan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang turut diiringi isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan berkenaan dalam ucapannya turut menyatakan bahawa sambutan tersebut bukan sahaja tentang hasil tuaian malah membawa pengertian yang lebih meluas.

“Sambutan tersebut turut memperkasakan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum agar kestabilan sosial, politik, ekonomi, pembangunan mampan sentiasa terpelihara.

“Ia juga berupaya membantu memelihara dan mempromosikan budaya serta keunikan Sabah kepada pelancong sekaligus menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di negeri ini,” ujarnya.

Menurut Jeffrey lagi, Pesta Kaamatan tahun ini juga meneruskan program Seeds’ Spirit Revival (SSR) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar terutamanya tumbuh-tumbuhan herba yang mempunyai nilai dari segi sains perubatan dan komersial.

Beliau juga menyeru semua agar terus berganding bahu memelihara dan memulihara alam sekitar dalam menangani isu perubahan iklim dan kekurangan bekalan makanan tatkala menikmati arus pemodenan.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmy Yahya, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Al Hambra Juhar dan isteri, Datin Scarlett Suhaili Sambinding dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. — JABATAN PENERANGAN SABAH

SHARE
Previous articlePM Tiba di Sabah
Next articleMasyarakat Dipelawa Sertai Kursus Percuma NTW
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.