KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Senator Datuk Guandee Kohoi meminta agar semua pihak mengambil masa untuk bertenang berikutan DUA (2) kes laporan polis terhadap seorang ahli STAR Sabah iaitu Philip Among yang sedang tular di media sosial ketika ini.
Menurut beliau, setakat ini LAPORAN PERTAMA daripada seorang peserta Unduk Ngadau 2021 yang mendakwa telah diperlakukan “tidak senonoh” oleh Philip Among.

Sementara itu, LAPORAN KEDUA datang daripada seorang Pengawal Keselamatan di Dewan KDCA, Penampang, yang mendakwa telah dikasari Philip.

Guandee menegaskan bahawa STAR Sabah adalah sebuah Parti berperlembagaan dan segala perkara hendaklah diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam Parti.
“Sejajar dengan ini, Parti STAR SABAH telah menggantung jawatan Philip Among sebagai Penyelaras Parlimen P.173 Putatan berkuatkuasa hari ini…
“Tindakan seterusnya, sama ada menggantung keahlian atau memecat beliau dari Parti STAR Sabah akan diambil selepas Lembaga Disiplin bersidang.
“Tindakan ini menunjukkan bahawa pihak kepimpinan parti sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan dan aduan dari semua pihak, terutamanya daripada ahli-ahli Parti STAR Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau meminta semua ahli dan penyokong Parti STAR Sabah bersabar menghadapi hal tersebut dan tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan keadaan.
“Marilah kita bersama membangun dan memantapkan Parti STAR Sabah. Letakkanlah kepercayaan kepada pucuk pimpinan Parti untuk memimpin dan menjaga Parti STAR Sabah ini,” katanya lagi.





