KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpuas hati dengan pelaksanaan proses vaksinasi yang sedang berjalan di negeri ini.
Katanya setakat ini kira kira 200,648 orang telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Sabah sekurang-kurangnya dos pertama bagi Fasa Satu dan Fasa Kedua.
“Kita dapat nampak peningkatan yang ketara bagi penerima Vaksin di negeri ini dan kita berharap sasaran seramai 268,000 penerima vaksin dapat dicapai bagi fasa kedua,” katanya.
Sebelum ini, Bung yang juga Menteri Kerja Raya telah menyuarakan agar pemberian vaksin di negeri ini dipercepatkan, ini termasuklah memberikan kebenaran kepada Kerajaan Negeri untuk membeli bekalan vaksin daripada Pharmaniaga bagi mempercepatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.
“Saya dimakluman sudah ada hospital swasta di negeri ini yang melaksanakan program imuniasi COVID-19 dan kita berharap lebih banyak lagi hospital swasta di negeri ini terlibat,” kata Bung.
Dalam perkembangan yang sama dia berharap kempen vaksinasi rakyat Sabah terus diperhebatkan dan sehingga tidak perlu bergantung sepenuhnya dengan pendaftaran melalui MySejahtera.
“Kaedah lain juga perlu kita gunakan seperti pendaftaran melalui aplikasi WhatsApp, pandu lalu dan pendekatan lain seperti bergerak ke kampung-kampung, perlu dilaksanakan…
“Ini kerana masih ramai rakyat khususnya di luar bandar dan pedalaman yang kurang memahami akan kebaikan divaksin disebabkan masalah kekangan komunikasi,” jelas Bung.
Menurutnya kempen keyakinan berhubung penjelasan mengenai vaksin COVID-19 adalah selamat dan perlu diberikan kepada rakyat oleh ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang termasuklah pemimpin akar umbi bagi menangkis sentimen dan propaganda kumpulan anti-vaksin.
“Banyak berita-berita palsu yang disebarkan di laman media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk menerima vaksin,” ujar beliau.