KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady telah mengadakan perjumpaan bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah baru-baru ini.
Pertemuan itu dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman.
Pertemuan itu antara lain membincangkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kastam dalam memastikan kemasukan barang di pelabuhan sentiasa berada dalam keadaan yang lancar.
“Dalam usaha memastikan operasi kastam di pelabuhan berada pada tahap yang optimum, usaha menambahbaik fasiliti Pelabuhan Sabah antara perkara yang diketengahkan.
“Buat masa ini hanya dua ‘bulk barge’ sahaja yang tersedia di Sabah Port dan penambahan perlu dilakukan dalam kadar segera.
“Pertemuan kali ini juga membincangakan usaha untuk menjenamakan semula terma ‘barter trade’ di Pelabuhan Tawau supaya lebih relevan dan komersial seiring peredaran masa,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Andi, yang juga Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan berkata pelabuhan Tawau mempunyai potensi yang cukup besar dalam ‘barter trade’ dan perlu digerakkan sebagai persediaan kepada pembukaan Kota Nusantara, Indonesia.
“Pertemuan ini diharapkan akan mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri bersama Jabatan Kastam Zon Sabah dan jalinan kerjasama yang erat akan terus terjalin di masa akan datang,” katanya.