
REMBAU, NEGERI SEMBILAN – Seorang pendaki yang meninggal dunia ketika dalam pendakian di Gunung Datuk semalam (30 Okt) berjaya dibawa turun oleh pasukan penyelamat yang diketuai oleh Bomba.
Mangsa, Mohd. Azam Che Mat, 45, pekerja sebuah kilang di Seremban disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik sebaik sahaja dibawa turun ke kaki Gunung Datuk pada pukul 2.20 petang.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Arif Ahmad Osasi berkata, pasukannya menerima maklumat berkenaan pada pukul 9.28 pagi.
Katanya, secara kebetulan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sudah berada di lokasi susulan terdapat dua program dijalankan di Gunung Datuk.
“Mangsa dilaporkan sudah tidak sedarkan diri kira-kira 300 meter dari puncak Gunung Datuk di mana mangsa bersama 18 ahli kumpulan yang lain sedang menuju ke Gunung Gagak…
“Pasukan penyelamat bersama sukarelawan keseluruhannya seramai 30 orang bergilir-gilir mengusung mangsa turun dari puncak gunung,” katanya semalam (30 Okt).
Sementara itu, rakan mangsa, Zakaria Ayub, 59, berkata, arwah aktif mendaki sejak lebih setahun lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah seawal pendakian pada pukul 4 pagi.
Menurutnya, mereka seramai 18 orang telah mendaftar naik ke gunung tersebut secara dalam talian untuk cabaran Trans Naning.
“Mangsa yang merupakan bekas pesakit Covid-19 tahap 3, solat subuh berjemaah di puncak Gunung Datuk bersama yang lain. Kami berehat lebih sejam sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Gagak…
“Lima minit selepas meneruskan perjalanan, mangsa mengadu kejang kaki dan kami berpatah balik ke arah mangsa. Bagaimanapun, mangsa sudah pun terbaring dan pengsan. Kami cuba memberi bantuan melalui tekanan dada namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi,” katanya.
Katanya, mereka terus menghubungi pasukan penyelamat bagi bantuan membawa turun mangsa dan tidak menyangka pendakian kali ini bersama rakan-rakan lain berakhir kejadian tidak diingini.