JHL Sabah Buka Permohonan Lesen Buru Buaya

JHL Sabah Buka Permohonan Lesen Buru Buaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan , Kebudayaan dan Alam Sekitar menerusi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah membuka permohonan lesen memburu buaya sepanjang tahun dalam usaha mengimbangi populasi hidupan liar di negeri ini.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, ini adalah salah satu cara untuk memastikan penggunaan mampan untuk industri buaya di Sabah. 

“Bagaimanapun, terdapat maklum balas minimum dari segi permohonan lesen setakat ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pengurusan Konflik Buaya-Manusia di Sabah di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Mary Malangking.

Jelas Christina lagi, adalah keyakinan kukuh bahawa dengan memanfaatkan sumber asli kita secara mampan, kita boleh mencipta peluang yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Adalah besar harapan saya agar langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan konflik tetapi juga membuka pintu kepada peluang baharu, seperti pelancongan dan pengeluaran barangan mewah, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan kita.

“Oleh itu, pada masa hadapan, buaya tidak akan digeruni sebaliknya dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau pada masa sama mengakui bahawa sejak turun temurun buaya dikhuatiri sebafai ancaman kepada kehidupan dan mata pencarian manusia.

“Penting untuk mengiktiraf peranan penting buaya dalam mengekalkan kesihatan ekosistem dan sebagai sumber yang berpotensi untuk meningkatkan kehidupan masyarakat tempatan Sabah.

“Adalah jelas bahawa terdapat jurang yang ketara dalam pemahaman masyarakat kita tentang konflik yang semakin meningkat antara manusia dan buaya. Oleh itu, tindakan dan platform diperlukan untuk merapatkan jurang ini, mendidik dan meningkatkan kesedaran,” tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah melalui kementeriannya akan mengambil kira semua cadangan yang dikemukakan dalam bengkel ini dengan menyediakan pelan untuk mengurangkan konflik manusia-buaya di Sabah.