Lima Sekeluarga Cedera, Isuzu D-Max Terbabas Masuk Gaung 15 Meter di Kota...

Lima Sekeluarga Cedera, Isuzu D-Max Terbabas Masuk Gaung 15 Meter di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Lima individu cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max terbabas sendiri dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Kampung Pituru Laut, Kota Belud, malam tadi.

Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 8.01 malam sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. Jentera pertama tiba pada jam 8.33 malam.

Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah Isuzu D-Max yang terbabas sendiri masuk ke dalam gaung. Kesemua lima mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 40 tahun, lelaki 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat, tujuh dan 10 tahun. Kesemua mereka mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya lagi, pasukan EMRS JBPM memberikan rawatan awal di tempat kejadian sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 malam selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.