KUCHING: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya ketika menjala ikan di bawah jambatan Sungai Buloh, Sadong Jaya, pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal Abdillah, 30, yang ketika kejadian bersama rakannya, Mohd Nassarudin Morsalin, 26.
Menurut Mohd Nassarudin, mangsa hilang secara tiba-tiba sebelum disedari telah disambar reptilia berkenaan ketika mereka berada di dalam sungai hingga paras pinggang.
“Saya terus berlari ke kawasan pangkalan untuk mendapatkan bantuan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah hari.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai.
Menurut kenyataan itu, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi sebelum memulakan operasi pencarian di permukaan sungai.
“Operasi dijalankan dengan mengambil kira keadaan arus sungai serta faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada anggota penyelamat,” katanya.
Sehingga jam 2 petang semalam, mangsa masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.






