Sabah Alu-Alukan Cadangan Penubuhan SPC Untuk Wujudkan Penyelarasan Profesional Dan Kerajaan Negeri

Sabah Alu-Alukan Cadangan Penubuhan SPC Untuk Wujudkan Penyelarasan Profesional Dan Kerajaan Negeri

0
SHARE
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah, Tan Sri David Chun (dua kiri), Pengerusi Jawatankuasa Majlis Profesional Sabah, Ar Rizal Ahmad Banjar (kanan) dan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Roger Chin (kiri) semasa kunjungan hormat itu..

KOTA KINABALU, SABAH – Cadangan penubuhan Majlis Profesional Sabah (SPC) adalah tindakan yang dialu-alukan untuk mewujudkan penyelarasan antara profesional dan kerajaan negeri dalam membangunkan strategi sejajar dengan aspirasi pelan pembangunan kerajaan iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata semua sektor pembangunan memerlukan sumbangan dan kepakaran profesional dalam pelbagai bidang serta majlis yang dicadangkan itu relevan dalam mewujudkan sinergi idea dan usaha untuk memacu pembangunan Sabah.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan jawatankuasa ‘ad-hoc’ SPC yang diketuai Pengerusinya, Ar Rizal Ahmad Banjar di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Rizal turut memberi penerangan kepada Hajiji mengenai cadangan SPC dan menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri yang antara lain meminta agar golongan profesional di Sabah terlibat dalam hal inisiatif kerajaan untuk menghidupkan kembali pembangunan ekonomi dan sosial negeri.

Rizal berkata menerusi SPC, golongan profesional ingin melibatkan diri dan membantu kerajaan serta agensi berkaitan dalam penyusunan dasar dan garis panduan.

Pada masa ini, Sabah mempunyai kira-kira 5,000 golongan profesional yang berdaftar dalam pelbagai bidang termasuk arkitek, jurutera, juruukur, peguam, akauntan dan doktor.

Turut hadir adalah ahli Majlis Penasihat Negeri Sabah (SEAC) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri David Chu.