PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini (Jumaat) melepaskan dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya pada LIMA (5) tahun yang lalu.
Ini menjadikan beliau terlepas daripada menerima hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atas pertuduhan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu.
Hakim Datuk Suraya Othman dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersetuju bahawa keputusan yang dibuat berdasarkan keterangan Tan Sri Chai Kin Kong sebelum ini dan keterangan daripada pegawai siasatan SPRM, Saad Bordani yang mengesahkan sumbangan wang sumbangan tersebut adalah sumbangan politik.
Keputusan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim dengan Datuk Suraya Othman dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais menentang.
Datuk Suraya yang membacakan keputusan itu berkata bahawa keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah terkhilaf iaitu tidak memiliki arah yang jelas dan tersalah arah.
Terdahulu pada 21 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas Ku Nan didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya lima tahun lalu.
Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu didakwa dibuat di CIMB Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.