Polis Kejar, Lepas Tembakan, Kereta Dipandu Lawan Arus – Dua Suspek Ditahan

Polis Kejar, Lepas Tembakan, Kereta Dipandu Lawan Arus – Dua Suspek Ditahan

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Polis melepaskan beberapa das tembakan terhadap kenderaan yang dipandu laju dan melawan arus selain cuba merempuh kereta peronda polis (MPV) di Jalan Tuaran – Kota Kinabalu berhampiran stesen minyak di Pekan Telipok di sini, malam tadi.

Memetik sumber Berita Harian, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kejadian berlaku pada jam 9.29 malam apabila MPV dari IPD Kota Kinabalu terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu laju dan melawan arus.

Katanya, pihak MPV polis cuba menahan dan menghentikan kereta yang dinaiki oleh dua suspek terbabit namun suspek bertindak memecut dan cuba merempuh kenderaan polis.

“Akibat tindakan agresif suspek, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek dengan tujuan menghentikan kereta terbabit selain mempertahankan diri dan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kereta suspek yang dipandu laju itu kemudiannya menghala ke perumahan Taman Sri Rugading, Tuaran dan berjaya dihentikan dan pada masa sama kedua-dua suspek berkenaan cuba melarikan diri.

“Tindakan cekap pihak polis bagaimanapun berjaya menahan dan menangkap kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Noraidin, hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan peralatan untuk menghisap dadah jenis syabu dalam kereta suspek.

“Hasil semakan pihak polis terhadap kedua-dua orang suspek juga mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek terbabit kini ditahan manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengganggu siasatan pihak polis.

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, diminta tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran atau mana-mana Balai Polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.