
TUARAN, SABAH – Seramai 238 belia menerima Dana Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) 2.0 bagi daerah Tuaran.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, setiap penerima yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM2,000.00 dalam membantu belia memulakan perniagaan baru atau mengembangkan perniagaan sedia ada.
“Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sabah yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang memperuntukkan RM10 juta bagi program tersebut.
“Syarat untuk mendapatkan bantuan ini belia yang berumur 18 hingga 40 tahun dan seorang usahawan tetapi ada juga beberapa perkara yang kita longgarkan persyaratannya kepada peniaga-peniaga di tepi jalan, yang membuka kiosk ataupun peniaga secara dalam talian tidak mempunyai dokumentasi yang diperlukan seperti lesen penjaja.
“Dan baru-baru ini beberapa daerah sudah kita pergi dan daerah seterusnya ialah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan Tawau bagi penyerahan SYABAS ini.
“Selain itu, penerima SYABAS di Kudat hampir 100 penerima, Kota Marudu kurang lebih 100, Kota Belud pula 100 lebih penerima dan bagi daerah Kota Kinabalu lebih 300 penerima SYABAS.
“Bagi penyerahan SYABAS ini, sudah hampir 60 peratus diserahkan kepada semua penerima yang memohon dana adalah secara atas talian dan juga ada beberapa yang kita ambil pertimbangan untuk mengisi borang secara manual, belia di setiap daerah juga perlu peka terhadap bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri agar tidak ketinggalan untuk mendapatkan bantuan SYABAS,” jelasnya.
Justeru, beliau meminta kepada pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah di setiap daerah untuk melibatkan bersama kelab-kelab belia ataupun belia yang ada di setiap daerah supaya mereka tahu adanya bantuan kerajaan seperti ini.
“Fasa pertama SYABAS sehingga kini adalah sama iaitu setiap pemohon yang diluluskan akan menerima RM2,000 seorang yang akan membantu belia Sabah memulakan perniagaan baru atau mengembangkan perniagaan sedia ada,”katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dana SYABAS 2.0 Daerah Tuaran, Tamparuli, Kiulu Tahun 2024 di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah Tuaran, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Fairuz turut memaklumkan atlet-atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA yang mewakili Sabah pada tahun ini bakal mendapat inisiatif daripada kerajaan negeri iaitu pemenang pingat emas akan mendapat ganjaran sebanyak RM10 ribu setiap pingat.
“Seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri untuk setiap pingat emas akan mendapat RM10,000 dan untuk makluman juga atlet yang mendapat pingat perak dan gangsa juga turut mendapat penambahan insentif dari kerajaan negeri.
“Kita akan adakan acara penyerahan tersebut dalam masa yang terdekat dan akan dimaklumkan kepada semua bila penyerahan kepada atlet-atlet SUKMA dan PARA SUKMA tersebu,” ujar beliau.
Dalam majlis tersebut, turut berlangsung penyerahan insentif kepada 22 orang atlet SUKMA dan Para SUKMA yang mewakili Sabah yang berasal dari daerah Tuaran atas kejayaan yang diperolehi pada SUKMA Sarawak 2024 oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Mohammad Ghazali Hajiji yang juga Pengerusi Kelab Belia Pekan Tuaran.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun dan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging. — JABATAN PENERANGAN SABAH





