Wanita Ditemui Maut Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan One Borneo

Wanita Ditemui Maut Dipercayai Terjatuh Dari Bangunan One Borneo

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 57 tahun ditemui maut di kawasan parkir Tower A, One Borneo, di sini, kira-kira jam 6 pagi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama unit forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah dikejarkan ke lokasi.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 12 bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan privasi keluarga mangsa.