USNO Sipitang Bakal Dibubar, Bekas Ketua Bahagian Nyatakan Pendirian

USNO Sipitang Bakal Dibubar, Bekas Ketua Bahagian Nyatakan Pendirian

0
SHARE
KENAL LAMA … Haji Ali Dad bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis...

SIPITANG: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) USNO merangkap bekas Ketua Bahagian USNO  Sipitang, Datuk Ali Dad Fazal Elahi, menyatakan hasrat untuk membubarkan USNO Bahagian Sipitang berikutan dakwaan kepimpinan parti itu semakin hilang arah dan tidak lagi mampu memperjuangkan kepentingan rakyat secara berkesan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai perkembangan semasa politik Sabah yang, menurutnya, memerlukan wadah politik lebih kukuh dan berdaya saing.

USNO Sipitang sudah tidak lagi berfungsi sebagai platform politik yang relevan. Perpecahan dalaman, kelemahan organisasi dan ketiadaan hala tuju yang jelas menyebabkan perjuangan asal semakin terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ali Dad berkata, langkah membubarkan bahagian berkenaan merupakan tindakan yang perlu bagi mengelakkan rakyat Sipitang terus terikat dengan sebuah parti yang didakwa tidak lagi mampu memberikan manfaat kepada mereka.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk kembali menyertai UMNO sebagai alternatif politik yang disifatkannya lebih stabil serta mempunyai struktur organisasi yang mantap.

“UMNO masih mempunyai jentera yang kuat dan pengalaman panjang dalam menguruskan politik arus perdana. Saya percaya dengan penyertaan semula ke dalam UMNO, perjuangan rakyat Sipitang dapat diteruskan dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Ali Dad menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya sebagai pemimpin berpengalaman dan berwibawa.

“Beliau seorang pemimpin yang saya kenal lama, berwibawa dan berpengalaman luas. Dengan kerjasama BN-PN yang sudah lama diimpikan orang Melayu, saya yakin ia akan merombak landskap politik negara,” katanya.

Ali Dad turut menyatakan pandangan bahawa Ahmad Zahid berpotensi diangkat sebagai Perdana Menteri, manakala Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peranan sebagai Menteri Kanan, yang menurutnya boleh mengambil contoh model kepimpinan di Singapura.

Beliau berkata, keputusan itu bukan semata-mata didorong kepentingan peribadi, sebaliknya berpaksikan kepentingan masyarakat Sipitang yang memerlukan kepimpinan berwibawa, berintegriti serta mampu membawa pembangunan.

“Sebahagian besar keluarga saya di Beaufort dan Sipitang juga akan kembali ke pangkuan UMNO yang mempunyai rekod cemerlang dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat,” katanya.

SHARE
Previous articleRemaja Lemas, Seorang Lagi Selamat Dalam Insiden di Pantai Tanjung Badak
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.