
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bersama Pejabat Perhubungan Negeri Sabah (PPNS) Kuala Lumpur telah menjalinkan kerjasama dalam menjayakan perkhidmatan logistik kepada rakyat Sabah yang datang berurusan di Semenanjung.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah perkhidmatan sewaan pengangkutan, perhotelan, kargo, tempahan tiket penerbangan dan hal-hal kebajikan.
“Saya ucapkan tahniah kepada MUIS kerana telah membuat satu lagi inisiatif yang sangat baik untuk pembangunan MUIS itu sendiri dan juga membantu masyarakat khususnya anak-anak kita dan juga pekerja dari Sabah di Semenanjung.
“Anak syarikat MUIS ini akan bekerjasama dengan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah dalam menyelaras beberapa perkara berhubung logistik, pengangkutan, penginapan serta hal-hal yang berhubung dengan perkara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara MUIS dan PPNS Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Di Pertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengarah PPNS Kuala Lumpur, Sabariah Safri @ Saffree.
Arifin yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berharap agar usaha seumpama itu akan dapat membantu rakyat dari negeri ini khususnya kakitangan Kerajaan yang melaksanakan tugas di Semenanjung selain dari Sabah.
“Ini sangat baik juga untuk MUIS dan ianya juga dapat membantu menyelaras berhubung dengan pengangkutan, penginapan termasuklah pelajar kita di Sabah,” katanya.