Integriti dan Kecekapan Pentadbiran Daerah Penentu Kejayaan SMJ – Ketua Menteri

Integriti dan Kecekapan Pentadbiran Daerah Penentu Kejayaan SMJ – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan integriti, profesionalisme dan kecekapan pentadbiran daerah adalah faktor utama dalam memastikan dasar kerajaan negeri memberi kesan positif kepada rakyat serta menjayakan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah berperanan sebagai pemimpin akar umbi dan penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat, justeru mereka perlu proaktif, telus dan dekat dengan masyarakat.

“Saya mahu pegawai daerah bukan sekadar menjaga amanah, tetapi memastikan setiap projek pembangunan sampai kepada rakyat dengan penuh integriti. Permudahkan urusan rakyat dan hentikan kerenah birokrasi yang boleh menjejaskan pembangunan daerah,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 di Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR), Khamis.

Hajiji menekankan pentadbiran daerah kini berdepan cabaran lebih besar susulan tuntutan rakyat yang meningkat serta perubahan sosio-ekonomi global. Beliau mengingatkan pegawai daerah agar sentiasa mendengar keluhan rakyat dan memastikan pelaksanaan dasar kerajaan benar-benar memberi impak kepada kehidupan masyarakat.

Kerajaan negeri, katanya, komited memastikan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar dengan mengekalkan integriti dan profesionalisme sebagai tunjang pentadbiran.

Menurut Hajiji, Sabah kini berada pada landasan kukuh melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0. Antara pencapaian utama ialah, 7,482 unit Rumah Mesra SMJ diluluskan (2022–2025), dengan 4,540 unit siap dibina sehingga Ogos lalu.

Elaun Pengerusi JKKK dinaikkan daripada RM500 kepada RM800, manakala elaun Setiausaha JKKK meningkat daripada RM300 kepada RM400 sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka.

Tiga daerah kecil, Paitan, Membakut dan Sook telah dinaik taraf menjadi daerah penuh, dengan beberapa lagi berpotensi menyusul.

Menolak dakwaan pembangkang kononnya kerajaan negeri gagal membawa pembangunan, Hajiji menyifatkan tuduhan itu sebagai dakyah politik.

“Itu tidak benar. Saya mahu pegawai daerah dan penolong pegawai daerah menjelaskan setiap inisiatif kerajaan kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan pegawai daerah agar sentiasa bersedia menghadapi cuaca tidak menentu dengan memastikan aset serta peralatan penyelamat dalam keadaan baik.

Hajiji berharap Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Ke-28 mampu melahirkan resolusi praktikal selaras dengan tema “Daerah Maju, Rakyat Sejahtera”, sekali gus merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya.