KOTA KINABALU: Pasukan peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina memaklumkan dorm tempat arwah tinggal di asrama sekolah kelihatan seperti sudah tidak digunakan.
Penemuan itu hasil lawatan bersama pasukan inquest ke blok asrama berkenaan pada pagi Khamis dalam sesi locus in quo, di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar pada Khamis.
Peguam keluarga, Shahlan Jufri, berkata, beliau bersama peguam Rizwandean Borhan meneliti serta mengambil gambar di bilik atau dorm tersebut untuk tujuan rujukan prosiding.
“Kami dapat mengenal pasti katil dan lokar milik Zara Qairina walaupun bilik itu kelihatan seakan tidak digunakan lagi,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inquest hari keenam selesai di Mahkamah Koroner pada Khamis.
Menurutnya, terdapat enam katil dua tingkat yang menempatkan kira-kira 12 pelajar, dengan Zara berada di bahagian atas.
Shahlan turut memaklumkan, sebelum prosiding disambung di mahkamah, pasukan berkenaan telah menjalankan proses bina semula di sekolah menggunakan patung dengan pemberat ditambah bagi menyerupai keadaan sebenar.
Sesi itu berlangsung hampir dua jam, termasuk mengambil ukuran serta gambar kawasan sekitar blok asrama.
Beliau menambah, prosiding inkues akan bersambung dengan keterangan saksi keenam, seorang pengawal keselamatan, diikuti seorang lagi doktor.
“Dijangka minggu depan pakar psikologi dari Kuala Lumpur akan tiba di Kota Kinabalu untuk membuat ‘profiling’ Zara. Antara prosesnya ialah menemubual keluarga, rakan sekolah dan guru, selain meneliti buku serta diari yang dikemukakan di mahkamah,” jelas Shahlan.
Pakar psikologi itu, katanya, akan membantu mahkamah menentukan keadaan mental Allahyarhamah Zara sebelum kematiannya.






