PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal dikenali sebagai Kumpulan Awen selepas menahan lapan lelaki dalam beberapa serbuan di Penampang, Putatan dan Kota Marudu pada 18 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata, kumpulan itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang mempunyai 12 rekod lampau berkaitan curi motosikal dan dadah.
“Dengan penangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan enam kes curi motosikal di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
“Turut dirampas enam motosikal pelbagai jenama bernilai RM40,000,” katanya dalam kenyataan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis syabu manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Sammy menegaskan polis komited membanteras jenayah dan menggesa orang ramai terus menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah.






