Kemalangan Tengah Malam di Jalan Lintas Ragut Satu Nyawa

Kemalangan Tengah Malam di Jalan Lintas Ragut Satu Nyawa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki lingkungan 20-an maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Lintas hadapan Plaza Metro Town, lewat malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian jam 11.55 malam pada 9 September itu membabitkan sebuah Nissan Grand Livina dan Toyota Prius.

“Siasatan awal mendapati Nissan Grand Livina yang datang dari arah Jalan Lintas bertembung dengan Toyota Prius yang keluar dari simpang Plaza Metro Town. 

“Akibat perlanggaran itu, pemandu Nissan Grand Livina disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, pemandu dan penumpang Toyota Prius cedera dan tersepit di dalam kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.