KOTA KINABALU: Seramai 30 penjaja dan peniaga kecil menerima sumbangan kanopi sebagai persiapan memulakan operasi Bazar Ramadan di Sabah Trade Centre (STC), Likas yang akan bermula esok.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick dalam satu upacara ringkas perasmian tapak bazar serta penyampaian kanopi kepada usahawan kecil yang juga ahli Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (PUPPKKK), hari ini.
Ewon berkata, bantuan berkenaan mencerminkan sokongan berterusan kementeriannya terhadap golongan peniaga kecil dan mikro di negeri ini, khususnya menjelang Ramadan.
“Saya berharap Bazar Ramadan STC ini memberi berkat rezeki kepada semua usahawan dan menjadi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
“Kementerian sentiasa komited bukan sahaja dalam mengurus pelaburan industri berskala besar, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan usahawan kecil dan mikro di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Mengulas mengenai pembangunan kawasan STC, beliau memaklumkan kementeriannya telah menerima beberapa cadangan pembangunan semula tapak berkenaan.
“Namun, kita akan meneliti dan menetapkan cadangan terbaik untuk diangkat ke perbincangan Kabinet sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Sebagai langkah interim, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) selaku pemilik tanah telah menandatangani perjanjian dengan POIC Sabah, agensi di bawah Kementerian, bagi menyelenggara dan mengurus STC serta kawasan sekitarnya sehingga keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet Negeri.
Dalam pada itu, PUPPKKK diberi kebenaran untuk menjalankan Bazar Ramadan serta aktiviti perniagaan waktu malam di kawasan parkir yang ditetapkan.
Ewon menjelaskan tidak semua kawasan tempat letak kereta akan digunakan kerana ia turut berfungsi sebagai kemudahan kepada penjawat awam pada waktu bekerja serta penghuni dan pengunjung premis berhampiran.
Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf kemudahan sedia ada termasuk pembaikan jalan dan laluan, selain penyelenggaraan kawasan dan parkir bagi memastikan keselesaan peniaga serta pengunjung sepanjang Ramadan.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Thomas Logijjin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Datuk Fredian Gan, Pengarah DIDR Siti Nur’ain Abdullah dan Pengerusi Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Kota Kinabalu, Ramzih Ruzin.






