TUARAN: Tiga lelaki cedera manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tuaran–Simpang Serusup awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.25 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian pada jam 3.33 pagi.
Ketua Balai BBP Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga Aeroback dan sebuah Perodua Alza.
“Terdapat tiga mangsa di dalam Proton Saga Aeroback yang mengalami kecederaan. Pasukan EMRS memberikan rawatan awal di lokasi sebelum kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
“Pemandu Perodua Alza pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang cedera masing-masing berusia 24, 22 dan 18 tahun, manakala pemandu Alza berusia 45 tahun.
Operasi melibatkan lapan anggota BBP Tuaran dengan kekuatan satu jentera FRT bersama enam anggota serta satu jentera EMRS bersama dua anggota.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






