LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal yang juga merupakan seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti lumba haram di lampu isyarat Lapangan Terbang Lahad Datu, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tertuduh lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Menurut beliau, mahkamah turut memerintahkan kesalahan itu diendors pada lesen memandu tertuduh.
“Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengancam keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000, selain kesalahan diendors pada lesen memandu dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Mengulas lanjut, Dzulbaharin berkata, hukuman tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.
“Kita berharap hukuman ini menjadi pengajaran kepada tertuduh dan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan demi keselamatan bersama.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya memantau serta mengambil tahu pergerakan anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti lumba haram yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan semua pengguna jalan raya hendaklah memiliki lesen memandu yang sah serta tidak mengubah suai kenderaan sehingga menyalahi undang-undang jalan raya.
Terdahulu pada 21 Disember 2025, satu video tular di media sosial memaparkan aktiviti lumba haram sekumpulan penunggang motosikal di kawasan lampu isyarat berkenaan.
Dalam kejadian itu, seorang penunggang dilaporkan melanggar lampu isyarat merah sebelum terlanggar sebuah kenderaan lain, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya yang lain.






